Berkerusi roda tidak padam semangat Teacher Zarina
Guru SK Peroh itu perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu di hospital selain menjalani susulan rawatan di Institut Jantung Negara.
HULU TERENGGANU: Meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda ke sekolah dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, seorang guru tetap bersemangat mengajar dan tidak pernah mengambil cuti sakit (MC) mahupun Cuti Rehat Khas (CRK).
Zarina Abdullah, 50, guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Peroh, di sini berpengalaman mengajar selama 27 tahun, namun terpaksa menggunakan kerusi roda sejak dua tahun lalu setelah kedua-dua ligamen lututnya putus dan cedera akibat terjatuh.
“Mula-mula saya terjatuh di rumah dan ligamen lutut saya sebelah kiri putus. Sejak itu saya menggunakan tongkat ke sekolah, tetapi tidak sampai empat bulan saya menggunakan tongkat, saya sekali lagi terjatuh di depan kelas hingga menyebabkan ligamen lutut sebelah kanan turut putus dan saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.
“Sepatutnya pembedahan boleh dibuat supaya saya dapat berjalan semula, tetapi atas nasihat doktor saya tidak menjalankan pembedahan kerana risikonya tinggi sebab saya turut mengidap penyakit buah pinggang sejak 15 tahun lalu dan penyakit jantung sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Zarina berkata akibat penyakit buah pinggang, sebaik saja waktu persekolahan setiap Ahad, Selasa dan Khamis, beliau terpaksa bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk menjalani rawatan dialisis.
“Pukul 2.30 petang saya akan ke HSNZ untuk menjalani rawatan dialisis yang mana setiap kali rawatan akan memakan masa selama empat jam dan pada setiap Isnin, saya turut menjalani rawatan fisioterapi di hospital tersebut.
“Memang kalau diikutkan agak penat dan letih bila terpaksa pulang lewat malam selepas menjalani rawatan dan keesokan harinya terpaksa datang ke sekolah untuk mengajar, tetapi saya tidak menganggap ia penghalang.
“Saya tetap akan datang ke sekolah demi mendidik anak murid saya,” katanya dalam nada sebak.
“Saya tetap akan datang ke sekolah demi mendidik anak murid saya,” katanya dalam nada sebak.
Zarina berkata beliau turut menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur setiap empat bulan bergantung kepada keadaan kesihatannya.
“Saya juga menjalani tiga pembedahan memasukkan ‘stent’ atau besi pada injap jantung pada 2006, 2010 dan 2012 dan sekarang masih menjalani rawatan susulan,” katanya.
Setiap hari, ibu kepada dua anak ini dihantar suaminya, Mohd Sukri Hamzah yang juga guru di SK Felda Bukit Bading untuk ke sekolah dan beliau diberikan bilik khas untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran dilakukan.
“Saya memang tak dapat berdiri lama dan tak boleh memandu, suami saya yang menghantar saya ke sekolah setiap hari dan di sekolah -guru lain banyak membantu saya.
“Saya rasa satu kepuasan bila dapat tengok anak murid saya pandai membaca dan dapat ikut apa yang saya ajar dalam kelas…apa yang menyentuh dan menguatkan hati saya adalah bila waktu habis kelas, anak murid akan bersalam dan memeluk saya sambil ucap ‘I love you, teacher’ (saya sayangkan cikgu). Saya tak pernah ajar mereka (untuk ucapkan ayat itu), tapi itulah reaksi mereka.
“Apabila waktu kelas dah nak habis, ada yang suruh saya mengajar sampai habis waktu persekolahan…mungkin mereka suka cara saya mengajar,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Peroh Siti Zainun Ismail berkata Zarina merupakan seorang guru yang sangat komited dalam kerjayanya sebagai seorang pendidik dan beliau yang mengenali guru tersebut lebih satu tahun menganggap beliau seorang guru yang sangat kental.
“Saya bertukar ke sekolah ini tahun lalu dan sepanjang mengenalinya, beliau tidak pernah mengambil MC ataupun CRK, malah bila saya tanya guru lain, memang sebelum ini Zarina tidak pernah sewenang-wenangnya mengambil cuti.
“Kalau orang lain, dalam keadaan tidak sihat dan sering menjalani dialisis mestilah mereka mengambil cuti untuk berehat kerana letih, tetapi Zarina memang seorang guru yang sangat tabah dan kental, beliau tak pernah mengambil kesempatan atas kekurangannya,” katanya.
Siti Zainun berkata sifat keibuan dan penyayang yang ada pada Zarina membuatkan guru tersebut disukai dan disayangi murid di sekolah tersebut.
“Kalau Teacher Zarina mengajar, memang murid akan dengar cakapnya dan murid memang sangat sayang padanya,” katanya.
“Kalau Teacher Zarina mengajar, memang murid akan dengar cakapnya dan murid memang sangat sayang padanya,” katanya.
Sementara itu, murid tahun satu, Nurul Amirah Ahmad Firdaus berkata beliau sangat menyayangi guru tersebut yang banyak membantunya dalam subjek bahasa Inggeris.
“Saya tak pandai sangat subjek bahasa Inggeris, tapi saya rasa seronok bila waktu kelas bahasa Inggeris…bila loceng berbunyi, kami akan cepat-cepat beratur untuk ke bilik ‘teacher’.
“Teacher sangat baik, walaupun sakit beliau tetap akan datang ke sekolah untuk mengajar,” katanya sambil tersenyum.
-BERNAMA
No comments:
Post a Comment